ISTERI DIANIAYA BOLEH TUNTUT FASAKH

Kebanyakan perceraian berlaku kerana konflik dalam perkahwinan, pengabaian tanggung jawab, penderaan dan penganiayaan. Perceraian selalunya digunakan untuk menyelesaikan kemelut dalam rumah tangga.

Namun begitu, perceraian adalah amat tidak 
digalakkan dan merupakan langkah terakhir penyelesaian kepada konflik perkahwinan sekiranya semua langkah penyelesaian yang lain gagal.

Banyak kes berlaku di Malaysia melibatkan keganasan fizikal dalam rumah tangga. Keganasan rumahtangga mencakupi beberapa elemen iaitu perbuatan sengaja meletakkan mangsa dalam ketakutan, mencederakan secara fizikal, memaksa atau mengancam melakukan perbuatan seksual, mengurung atau menahan tanpa kerelaan dan perbuatan khianat serta merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan.

Bagi isteri yang beragama Islam mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh atau pengesahan taklik di Mahkamah Syariah atas alasan penderaan fizikal ini.

Tujuan pembubaran adalah untuk menghapuskan kemudaratan tersebut dan ia menunjukkan satu keadaan dalam perkahwinan yang sudah tidak boleh dipulihkan lagi sehingga memerlukan kepada pembubaran perkahwinan.

Isteri perlu mengemukakan bukti yang jelas menunjukkan wujudnya penderaan dan penganiayaan fizikal tersebut.

Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan isteri berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh sekiranya suaminya menganiayanya atas alasan antara lainnya adalah

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.

Berdasarkan amalan fasakh yang diguna pakai, perkataan “lazim menyakiti” memerlukan beban pembuktian yang kuat untuk membuktikan sejauh mana penganiayaan, kecederaan atau kemudaratan yang berlaku ke atas isteri atau suami sehingga menyebabkan salah satu pihak menderita.

Walau bagaimanapun dalam kes Hairun lwn. Omar (1991) 8 JH 289, telah diputuskan bahawa lazim menyakiti tidak semestinya melibatkan pukulan berulang kali tetapi pukulan secara fizikal yang mencukupi untuk mendatangkan kesakitan dan
Kemudaratan walaupun sekali juga membolehkan fasakh disabitkan.

Oleh itu, sebagai usaha untuk membendung kemudaratan berterusan terhadap mana-mana pihak, maka Mahkamah Syariah memberikan penyelesaiannya melalui fasakh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penentuan Kadar Muta’ah di Mahkamah Syariah

PENGGANTUNGAN PELAKSANAAN PERINTAH SEMENTARA MENUNGGU PROSES RAYUAN

KETERANGAN DENGAR CAKAP