PENGGANTUNGAN PELAKSANAAN PERINTAH SEMENTARA MENUNGGU PROSES RAYUAN

PENGGANTUNGAN PELAKSANAAN PERINTAH SEMENTARA MENUNGGU PROSES RAYUAN.

Merujuk kepada peruntukan undang-undang syariah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap suatu penghakiman mahkamah sama ada keseluruhan atau sebahagian penghakiman itu boleh merayu kepada mahkamah lebih tinggi dengan memasukkan notis rayuan dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dikeluarkan.

Ini bermaksud, jika kes itu diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah, pihak tidak berpuas hati boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan jika tidak berpuas hati pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah, boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah di negeri di mana penghakiman dikeluarkan.

AKTA TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1998 
dibawah Seksyen 139 (3) dan (4) memperuntukkan:

(3)“Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan.”

(4)"Notis rayuan hendaklah difailkan dalam 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan dan hendaklah menyatakan sama ada keseluruhan, sebahagian saja atau bahagian yang mana, keputusan itu hendak dirayu.”

Seksyen 144. Penggantungan pelaksanaan sementara menanti rayuan.

Pemfailan sesuatu notis rayuan tidaklah berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan dan apabila sebab yang mencukupi ditunjukkan, menggantung pelaksanaan atas apa-apa terma yang difikirkannya patut.

Perkara ini juga selari dengan Arahan Amalan No.10 tahun 2004 yang telah digunapakai sejak 8 Jun 2004 dan Arahan Amalan No. 1 Tahun 2005.
 
Namun begitu, jika pihak yang membuat rayuan berhasrat untuk menggantung pelaksanaan perintah itu, pihak yang merayu boleh membuat permohonan ke mahkamah yang mengeluarkan penghakiman untuk menggantung pelaksanaan penghakiman sementara menanti rayuan diputuskan.

Merujuk kepada kisah Zubyah al-Asad yang dipetik dari kitab Akhbar al Qudah m.s 95-97 adalah sebagaimana berikut:-

Terjemahan: “Apabila Saidina Ali menjadi qadhi di Yaman pada masa hayat Rasulullah SAW telah menjatuhkan hukuman bagi orang yang pertama masuk ke dalam lubang perangkap singa mendapat satu perempat diyat, kedua satu pertiga diyat, ketiga satu perdua diyat dan yang keempat mendapat diyat penuh.

Diyat ini dikenakan kepada kabilah-kabilah yang berasak-asak di sekeliling lubang perangkap singa tadi, kerana merekalah yang menyebabkan orang yang pertama jatuh ke dalam lubang diikuti oleh orang yang kedua kerana ditarik oleh orang yang pertama.

Manakala orang kedua ditarik pula oleh orang yang ketiga dan seterusnya menyebabkan semuanya mati. Yang pertama mendapat satu perempat kerana dia menyebabkan tiga kematian, yang kedua mendapat kerana dia menyebabkan dua kematian dan yang ketiga mendapat setengah kerana dia menyebabkan satu kematian sahaja dan yang keempat mendapat diyat penuh kerana dia tidak menyebabkan kematian sesiapa.

Kabilah-kabilah ini tidak berpuas hati dengan hukuman Saidina Ali. Riwayat lain pula menyebutkan bahawa ada di antara kabilah tersebut yang reda dengan keputusan Saidina Ali dan ada yang tidak bersetuju. Melihat yang demikian Saidina Ali berkata:-

“Sesungguhnya aku menghukum antara kamu dengan satu hukuman, sekiranya kamu tidak reda dengan hukuman itu, maka ia terhalang/tertegah dari dilaksanakan antara kamu, maka sesiapa yang dihalang/ditegah daripadanya, bukanlah hak baginya sehingga Rasulullah SAW…”

Mereka bersetuju dengan cadangan Saidina Ali untuk mengajukan kes tersebut kepada RAsulullah SAW. Pada musim haji mereka ke Mekah untuk menemui Rasulullah SAW dan mengemukakan rayuan mereka di Masjid al-Haram di Makam Ibrahim. Rasulullah SAW bersetuju untuk mendengar rayuan mereka dan keputusannnya Rasulullah SAW bersetuju dengan hukuman Saidina Ali.”

Kesimpulannya amalan penggantungan perintah yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah ( iaitu Mahkamah yang mengeluarkan sesuatu perintah itu sendiri yang menggantungnya ) menepati prinsip-prinsip penggantungan perintah yang terdapat di bawah Hukum Syara’.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penentuan Kadar Muta’ah di Mahkamah Syariah

KETERANGAN DENGAR CAKAP