Penafian Nasab Anak (Sumpah Li'an)

Perkataan li‟an berasal daripada kalimah arab iaitu al-la‟nu yang bermaksud jauh atau
laknat. Dalam erti yang lain, li‟an juga bermaksud jauh daripada rahmat Allah.

Hal ini demikian kerana suami dan isteri yang saling berli‟an akan menyebabkan mereka
terpisah untuk selama-lamanya dan diharamkan kembali sebagai pasangan suami isteri.

Secara terminologi, li‟an merupakan suatu ucapan sumpah yang dilakukan oleh seorang suami kepada isterinya dengan lima kali sumpah dan pada sumpah yang terakhir si suami mengucapkan sumpah yang diikuti dengan laknat Allah ke atasnya sekiranya dia berdusta.

Dari segi istilah pula, li‟an ialah sumpah laknat kerana berlakunya tuduhan qazaf oleh suami terhadap isterinya, sama ada untuk menafikan nasab anak yang dikandung oleh isteri ataupun menuduh isterinya melakukan zina.

Rukun-rukun Li’an

Menurut jumhur fuqaha‟ selain Hanafi, rukun li‟an terbahagi kepada empat bahagian iaitu:

i. Pihak yang meli‟an (Suami)

Suami hendaklah merupakan suami yang sah dari segi syarak kepada isteri yang hendak dili‟an. Suami juga hendaklah seorang yang berakal waras. Oleh itu, tidak sah li‟an yang dilakukan oleh suami orang lain.

ii. Pihak yang dili‟an (Isteri)

Isteri yang dili‟an hendaklah merupakan isteri yang sah kepada suami yang meli‟an serta tidak gila. Oleh itu tidak sah li‟an yang dilakukan terhadap isteri orang lain dan terhadap orang gila.

iii. Sebab li‟an

Sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, sebab berlakunya li‟an adalah sama ada si suami menuduh isterinya melakukan zina atau si suami ingin menafikan nasab anak yang dikandung oleh isterinya.

iv. Lafaz li‟an

Lafaz li‟an hendaklah mengikut tertib. Jumhur berpendapat li‟an sah sama ada
menggunakan bahasa arab atau bahasa yang lain. Menurut mazhab Hanbali, suami isteri yang mengetahui bahasa arab hendaklah berli‟an dalam bahasa arab sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.

Syarat-syarat Li’an

Para ulama‟ membahagikan syarat li‟an kepada dua bahagian iaitu syarat wajibnya
li‟an dan syarat sahnya melakukan li‟an

Syarat wajibnya li‟an adalah seperti berikut :

i. Pasangan tersebut masih berstatus suami isteri, sekalipun isteri tersebut belum disetubuhi atau isteri masih dalam „iddah talak raj‟i berdasarkan pandangan
Hanafiah. Menurut jumhur pula, suami juga boleh meli‟an isteri dalam talak ba‟in.

ii. Hendaklah akad perkahwinan tersebut akad yang sah. Oleh itu, terkeluar daripada li‟an perkahwinan yang bersandarkan pada akad yang fasad berdasarkan pandangan mazhab Hanafi.

iii. Suami yang melakukan li‟an hendaklah seorang yang muslim.

iv. Adanya tuduhan qazaf daripada suami terhadap isteri.

Syarat sah proses li‟an adalah seperti berikut :

i. Li‟an dilakukan dihadapan hakim atau wakilnya.

ii. Li‟an dilakukan oleh suami setelah diminta oleh hakim untuk berbuat demikian.

iii. Hendaklah sempurna kelima-lima lafaz li‟an yang diungkapkan.

iv. Lafaz yang digunakan oleh kedua-dua pasangan suami isteri menunjukkan atau memberi maksud li‟an selari dengan tuntutan al-Quran.

v. Hendaklah lafaz li‟an itu mengikut tertib yang telah ditetapkan.

vi. Sekiranya pasangan suani dan isteri itu hadir dalam prosiding li‟an, maka cukuplah kedua-dua pihak sekadar menunjukkan ke arah masing-masing semasa melakukan li‟an. Namun begitu, sekiranya salah satu pihak tidak hadir, maka hendaklah digunakan nama dan identiti yang lengkap untuk memastikan
bahawa individu yang dili‟an adalah betul.

Prosedur Penceraian kerana Li’an

Terdapat beberapa prosedur yang mesti diikuti semasa berlakunya proses li‟an.

Proses-proses itu dapat ringkaskan seperti yang berikut :

1. Suami berdiri di hadapan hakim dan di hadapan khalayak yang ramai. Mereka
disunatkan terdiri daripada orang yang adil dan soleh. Tempat yang sesuai adalah di masjid atau tempat yang agak tinggi seperti mimbar dan sebagainya.

2. Li‟an dimulakan selepas mendapat perintah daripada hakim selepas beliau mengajar cara menyebut lafaz li‟an. Sekiranya si suami melakukan li‟an tanpa kebenaran daripada hakim, maka hukumnya tidak sah. Li‟an daripada pihak isteri pula hendaklah dilakukan sebaik sahaja selesai li‟an daripada suami.
Tidak sah sekiranya li‟an dimulakan dahulu oleh pihak isteri.

3. Setelah selesai segala urusan yang berkaitan, suami hendaklah berkata : “Aku
bersaksi dengan nama Allah, sesungguhnya aku termasuk dalam golongan mereka yang benar terhadap tuduhan zina yang dilakukan ke atas isteriku dan sesungguhnya anak ini(sekiranya isteri mengandung) adalah anak daripada hasil penzinaan bukannya hasil hubungan yang sah denganku”.

4. Suami hendaklah mengulangi ucapannya sebanyak empat kali, sambil menunjukkan ke arah isterinya (jika isteri hadir dalam majlis) setiap kali ucapan tersebut dilafazkan. Seandainya isteri tidak hadir, cukuplah sekadar menyebut nama dan keturunannya sahaja untuk membezakan dengan wanita
yang lain.

5. Kemudian, suami berkata lagi untuk kali kelima setelah diberi nasihat oleh hakim tentang dosa akibat berdusta : “Dan ke atasku laknat Allah sekiranya aku dari golongan mereka yang berdusta”.

Seandainya suami boleh terlepas daripada hukuman had qazaf dengan berli‟an, begitu juga dengan isteri. Li‟an yang dibuat oleh isteri dapat menghindarkannya daripada hukuman had zina.

Ucapan li‟an isteri adalah seperti berikut : “Aku bersaksi dengan nama Allah, si fulan itu termasuk dalam orang yang berdusta dalam tuduhannya terhadapku”.

Ucapan ini hendaklah dilafazkan sebanyak empat kali. Seterusnya, dia mengucapkan untuk kali kelima “dan di atasku kemurkaan Allah sekiranya dia (suami yang membuat tuduhan) termasuk dalam golongan mereka yang benar”.

Kesan Li'an

i. Gugurnya had qazaf atau ta‟zir terhadap suami dan gugurnya had zina terhadap isteri. Sekiranya si lelaki tidak berli‟an, maka hendaklah dikenakan ke atasnya had qazaf sekiranya wanita tersebut muhsan dan dikenakan ta‟zir sekiranya wanita tersebut bukan muhsan menurut pandangan jumhur selain al-Hanafiah. Sekiranya wanita tidak berli‟an apabila dituduh, maka wajib dikenakan ke atasnya had zina iaitu 100 sebatan seandainya bukan muhsan dan rejam seandainya muhsan menurut pandangan al-Shafi‟iyyah dan al-Malikiyyah.

ii. Diharamkan persetubuhan dan berseronok antara kedua-dua suami dan isteri walaupun sebelum dipisahkan oleh hakim.

iii. Wajib dipisahkan antara kedua-duanya.

iv. Perpisahan disebabkan li‟an menyebabkan haram selama-lamanya untuk pasangan tersebut kembali semula menurut pandangan jumhur.

v. Sekiranya li‟an tersebut adalah untuk menafikan nasab anak, maka terputuslah
tanggungjawab suami terhadap anak tersebut. Maka, tidak wajib untuk si suami memberi nafkah terhadap anak dan isteri tersebut sebagaimana tiadanya pewarisan antara kedua-duanya.

Tempoh Menafikan Nasab Anak

Dalam menafikan hak nasab anak yang dikandung atau dilahirkan oleh isteri, si suami hendaklah menafikannya di hadapan hakim dengan ungkapan “anak ini atau kehamilan ini bukan daripada saya”.

Namun demikian, para ulama‟ berselisih pendapat mengenai waktu atau masa penafian terhadap anak tersebut. Jumhur ulama‟berpendapat seorang suami tidak boleh menafikan nasab anak yang dikandung oleh isterinya selepas anak tersebut lahir ke dunia.

Manakala mazhab Syafi‟e membolehkan penafian dilakuakn sepanjang tempoh kehamilan sehingga anak tersebut dilahirkan.

Ulama‟ mazhab Hanafi berpandangan apabila penafian dilakukan segera setelah anak tersebut lahir atau pada masa proses kelahirannya, maka li‟an tersebut
adalah sah. Sebaliknya, apabila li‟an dilakukan setelah itu, maka tuduhan atau penafian tidak diterima. Hal ini demikian kerana sikap diam suami sebelum ini membuktikan bahawa dia redha akan anak tersebut.

Mazhab Maliki pula adalah sama dengan mazhab Hanafi kecuali ditambah dengan dua syarat. Pertamanya, si suami tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya dalam tempoh yang dianggap mampu menyebabkan kehamilan. Kedua, penafian anak tersebut hendaklah dilakukan sebelum anak itu lahir.
Apabila suami diam sahaja tanpa sebarang alasan sehingga anak itu lahir, walaupun satu hari, maka li‟an tersebut tidak sah dan suami boleh dikenakan hukuman had qazaf
kerana menuduh isteri melakukan zina.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penentuan Kadar Muta’ah di Mahkamah Syariah

PENGGANTUNGAN PELAKSANAAN PERINTAH SEMENTARA MENUNGGU PROSES RAYUAN

KETERANGAN DENGAR CAKAP