Bapa wajib bayar nafkah anak
Apabila berlaku perceraian, sudah pastinya akan memberikan kesan bukan sahaja kepada pasangan suami isteri yang bercerai malahan kepada anak-anak dan masyarakat sekeliling.
Kebiasaannya, perceraian lebih memberi kesan kepada wanita kerana hilang tempat untuk bergantung dalam meneruskan hidup. Malah, apa yang menyedihkan adalah anak-anak juga menjadi korban perceraian kedua ibu bapa mereka.
Sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak, seharusnya seseorang bapa perlu menanggung nafkah anak-anak walaupun telah berlaku perceraian.
Cara menuntut nafkah anak
* Memfailkan saman dan penyata tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah
Sekiranya sudah dipastikan Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa mendengar permohonan puan, puan perlu memfailkan Saman dan Penyata Tuntutan Nafkah Anak di Mahkamah itu.
Lazimnya, mahkamah akan menyediakan borang 'standard' sebagai panduan.
Ataupun bolehlah mengisi atau menaip semula maklumat yang diperlukan dan memastikan alamat bekas suami boleh dihubungi dan disampaikan saman dan apa-apa notis mahkamah.
* Penyediaan dokumen sokongan
Ketika memfailkan tuntutan nafkah anak di mahkamah, adalah dinasihatkan untuk menyediakan dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan, surat cerai, surat beranak anak-anak atau kad pengenalan anak-anak.
Sebagai tambahan, sediakan bukti perbelanjaan dan keperluan anak-anak yang perlu ditanggung bekas suami serta bukti kemampuan bekas suami. Ini memudahkan mahkamah sewaktu mendengar kes puan dan membantu mahkamah mempertimbangkan permohonan puan.
*selepas prosiding kes
Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang bapa membayar nafkah kepada anak. Keengganan dan kecuaian bapa akan memudaratkan keadaan anak itu memandangkan nafkah anak adalah perkara fardu yang diwajibkan ke atas bapa.
Selain itu, undang-undang dan hukum syarak juga mewajibkan penafkahan ke atas anak untuk faedahnya dan boleh mencagarkan apa-apa harta milik bapa supaya membayar nafkah.
**************************************************
Nota kaki.
Tuntutan untuk nafkah anak yang hendak dimohon hendaklah dalam kadar yang munasabah dan memenuhi keperluan semasa anak yang semakin meningkat dewasa.
Ulasan
Catat Ulasan