Tuntutan Hadhanah di Mahkamah Syariah
HADHANAH
Pengertian
Berdasarkan kepada pandangan Mazhab Maliki, hadanah bermaksud sebagai penjagaan kanak-kanak dalam soal kehidupan seperti bangun tidurnya dan dalam hal kemaslahatannya seperti menjaga makan minum dan kebersihannya. Pandangan yang hampir sama dikemukakan oleh Mazhab Hanafi yang mana hadanah ialah penjagaan terhadap kanak-kanak oleh orang yang berhak menjaganya.
Mengikut pandangan Mazhab Syafii, hadanah ditakrifkan sebagai menjaga dan mendidik orang yang tidak mampu bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara
yang menyakitkannya. Ketidakmampuan tersebut disebabkan oleh ketidakupayaan
dalam membezakan sesuatu atau dengan lain perkataan menjaga seseorang dengan
melakukan untuknya perkara yang mendatangkan kebaikan seperti menjaga makan minum dan sebagainya.
Manakala Mazhab Hanbali, mendefinisikan hadanah sebagai menjaga kanak-
kanak, orang gila dan orang cacat pada akalnya daripada terkena sebarang mudarat dan melakukan perkara yang mendatangkan kebaikan untuk mereka.98 Sekiranya diteliti
secara mendalam didapati bahawa pengertian hadanah dalam Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi lebih mengkhususkan kepada penjagaan kanak-kanak sahaja. Sementara Mazhab Syafii dan Mazhab Hanbali meluaskan maksud hadanah kepada penjagaan orang dewasa yang tidak mampu menguruskan dirinya seperti orang gila dan sebagainya.
Siapakah orang yang berhak menjaga kanak-kanak?
Seksyen 81, Akta [303],
(1) Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadhanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3),hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari:
Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.
Apakah syarat-syarat menjadi hadinah/penjaga?
Seksyen 82, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa syarat-syarat menjadi hadinah ialah:
(a)dia adalah seorang Islam;
(b)dia adalah sempurna akal;
(c)dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d)dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
Berapa lamakah tempoh penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan oleh undang-undang?
Sekseyen 84(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat apabila kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan. (2) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.
Bagaimanakah hendak memfailkan hadhanah di Mahkamah Syariah?
Failkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di mana kita bermastautin atau dapatkan khidmat guaman daripada Peguam Syarie.
Ulasan
Catat Ulasan