Prosedur Penerimaan Maklumat dan Penyiasatan Jenayah Syariah
Pada 6 Oktober 2018 yang lalu, Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Mujahid Yusof Rawa dikatakan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada lagi ketukan pintu atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam, seperti yang dilaporkan The Star.
Sebaliknya Datuk Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.
Terdapat prosedur yang perlu dipatuhi oleh PPA (pegawai penguatkuasa agama) bagi tangkapan kes jenayah syariah. Antaranya ialah;
Berdasarkan BAHAGIAN IV - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA MEREKA UNTUK MENYIASAT iaitu seksyen 54 hingga seksyen 66 akta tatacara jenayah syariah wilayah persekutuan.
TATACARA PENERIMAAN MAKLUMAT
Mendapatkan Maklumat Daripada Pemberi Maklumat.
Bagi tujuan penerimaan sesuatu maklumat, langkah -langkah yang berikut hendaklah diambil:
a. Sesuatu maklumat boleh diterima sama ada secara bertulis atau lisan.
b. Jika pemberi maklumat hadir sendiri dan hendak memberikan maklumat secara bertulis, maka pemberi maklumat hendaklah mengisi borang 5 dan PPA yang bertugas hendaklah memastikan bahawa borang tersebut ditandatangani pemberi maklumat dan olehnya.
c. Jika sesuatu maklumat diterima melalui surat, e-mail, faksimile atau seumpamanya, maka PPA yang menerima maklumat tersebut hendaklah mengepilkan surat,
e-mail atau faksimile tersebut pada borang 5 dan (muka surat 2) borang tersebut hendaklah ditandatangani oleh PPA sebagai pemberi maklumat dan seorang PPA sebagai pemberi maklumat.
d. Selepas sesuatu maklumat secara lisan diterima, tindakan yang berikut hendaklah diambil:
i. Sekiranya pemberi maklumat hadir sendiri, PPA hendaklah mengambil langkah -langkah seperti berikut:
a) Yang diberikan hendaklah diubah ke dalam bentuk bertulis dan hendaklah dibaca kepada pemberi maklumat;
b) Pemberi maklumat hendaklah diberi peluang untuk membetulkan atau membuat penambahan kepada maklumat tersebut; dan
c) Sekiranya ada pembetulan atau penambahan, pindaan itu hendaklah dibuat pada masa itu juga dalam kehadiran pemberi maklumat dan dibaca semula kepada pemberi maklumat. Pemberi maklumat dan PPA yang menerima maklumat itu hendaklah menurunkan tandatangan pada borang tersebut; dan
ii. Jika maklumat diterima melalui telefon, PPA hendaklah mengambil langkah -langkah seperti yang berikut:
a) Mengubah maklumat itu dalam bentuk tulisan;
b) Mencatatkan tarikh dan waktu maklumat itu diterima di dalam borang 5; dan
c) Menandatangani borang tersebut sebagai pemberi maklumat dan ditandatangani oleh seorang PPA yang lain sebagai penerima maklumat.
e. Jika sesuatu maklumat diberikan secara lisan atau bertulis:
i. PPA yang bertugas hendaklah mendapatkan maklumat diri pemberi maklumat, termasuklah nombor telefon atau nombor perhubungan yang lain yang boleh dihubungi semula oleh PPA.
ii. Butir-butir yang berikut hendaklah diperoleh daripada pemberi maklumat –
a) Lokasi tempat yang disyaki berlakunya kesalahan itu termasuk alamat jika ada, dan apa -apa petunjuk yang membolehkan lokasi itu dikenal pasti dengan jelas;
b) Perihal maklumat;
c) Identiti orang yang disyaki (‘OYDS’);
d) Identiti orang lain yang berkenaan, jika ada; dan
e) Apa-apa maklumat lain yang boleh menyokong kes berkenaan.
f. Semua maklumat yang diterima sama ada secara lisan atau bertulis hendaklah didaftarkan di dalam buku daftar maklumat dan hendaklah diberikan nombor pendaftaran.
g. Bagi kesalahan tak boleh tangkap (KTBT), PPA yang menerima maklumat hendaklah –
i. Merujukkan pemberi maklumat kepada Hakim Mahkamah Syariah ; atau
ii. Mengemukakan maklumat tersebut kepada PPA (pegawai penyiasat) untuk mendapatkan kebenaran KPS bagi menjalankan siasatan
h. Bagi kesalahan boleh tangkap (KBT), PPA hendaklah-
i. Jika perlu melaporkan kepada KPS, membuat laporan mengenai maklumat itu dengan seberapa segera yang mungkin kepada KPS dan hendaklah mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii); atau
ii. jika tidak perlu dilaporkan kepada KPS, terus mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii)
iii. PPA hendaklah pergi sendiri atau mempertanggungjawabkan seorang pegawai bawahannya untuk pergi ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menjalankan siasatan sebagaimana yang dinyatakan dalam Arahan 5 Tatacara Menjalankan Siasatan.
iv. Walau apa pun peruntukan dalam subperenggan (h) (iii)-
a) Jika PPA berpendapat bahawa sesuatu kes itu tidak berat, PPA tidaklah boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan dalam subperenggan (h) (iii); dan
b) Jika PPA berpendapat bahawa tiada alasan yang munasabah untuk bertindak dalam kes itu, PPA tidaklah boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan dalam subperenggan (h) (iii).
i. Sekiranya subperenggan (h) (iv) terpakai, PPA hendaklah menyatakan dalam laporannya, jika ada, sebab-sebab dia tidak boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii).
TATACARA MENJALANKAN PENYIASATAN
Tindakan Awal
Bagi tujuan tindakan awal siasatan, langkah -langkah yang berikut hendaklah dipatuhi:
a) Mendapatkan arahan daripada KPPA untuk bertindak;
b) Mengenal pasti pegawai untuk bertindak dan melantik Ketua Operasi;
c) Menyediakan kenderaan dan peralatan seperti gari, lampu suluh, kamera dan perkara lain yang diperlukan;
d) Memastikan peralatan tersebut boleh digunakan dan berfungsi dengan baik;
e) Memberi tanggungjawab khusus kepada pegawai tertentu untuk mengendalikan peralatan tersebut semasa tindakan sedang dijalankan; dan
f) Jika PPA berpendapat bahawa sesuatu siasatan itu memerlukan bantuan dan kerjasama pihak PDRM atau agensi penguat kuasa undang–undang yang lain, maka PPA bolehlah mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada agensi yang berkenaan.
Taklimat Operasi
Tatacara bagi taklimat operasi adalah seperti yang berikut:
a) Sebelum memulakan siasatan, KPPA atau Ketua Operasi hendaklah memberikan taklimat pada masa dan tempat yang bersesuaian dan hendaklah dihadiri oleh semua pegawai operasi;
b) KPPA atau Ketua Operasi hendaklah menerangkan tujuan operasi serta pelan lokasi kepada pegawai operasi yang terlibat;
c) Menentukan tugasan pegawai operasi mengikut kesesuaian tindakan di lokasi;
d) Tindakan pegawai operasi hendaklah berdasarkan kepada arahan yang diberikan oleh KPPA atau Ketua Operasi;
e) Setiap pegawai operasi hendaklah mendengar dengan jelas dan memahami taklimat yang diberikan oleh Ketua Operasi;
f) Jika melibatkan agensi penguat kuasa undang -undang yang lain, pastikan mereka diberikan taklimat dan kefahaman yang jelas bagi maksud penglibatan mereka; dan
g) Jika perlu, mengarahkan suatu kumpulan pegawai operasi untuk berada di dalam premis dalam masa yang munasabah bagi tujuan pemerhatian dan pengecaman OYDS sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil.
Tindakan Semasa Berada Di Lokasi
Bagi tujuan pengautkuasaan semasa berada di lokasi, langkah-langkah yang berikut hendaklah dipatuhi:
a) Sebelum sampai dilokasi, Ketua Operasi hendaklah memaklumkan kehadiran mereka di kawasan itu serta tujuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) atau Ketua Polis Balai (KPB) kawasan yang berkenaan. Jika KPD atau KPB tidak dapat dihubungi,
PPA di ibu pejabat hendaklah dimaklumkan untuk memberitahu kehadiran pegawai operasi di kawasan itu kepada KPD atau KPB kawasan berkenaan;
b) Kegagalan untuk menghubungi pihak polis tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan operasi. Operasi hendaklah diteruskan setelah Ketua Operasi memaklumkan dan mendapat izin daripada KPPA;
c) Sebelum memulakan operasi, Ketua Operasi hendaklah memastikan semua pegawai operasi yang terlibat mengambil peranan masing-masing;
d) Ketua Operasi hendaklah memberi salam, memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kehadiran kepada OYDS atau mana mana orang yang berada di lokasi atau premis, dengan menunjukkan kad kuasa, waran tangkap, atau waran geledah;
e) Jika pegawai operasi mempunyai syak yang munasabah suatu kesalahan telah dilakukan oleh OYDS, tangkapan hendaklah dilakukan dengan apa-apa cara yang munasabah, iaitu dengan cara menyentuh atau mengurung tubuh OYDS, melainkan jika OYDS menyerah diri sama ada dengan perkataan atau melalui perbuatan;
f) Sekiranya mana-mana pegawai yang membuat tangkapan mendapati OYDS tersebut mempunyai senjata berbahaya maka dia boleh mengambil apa -apa senjata berbahaya yang ada pada OYDS dan hendaklah menyerahkan segala senjata yang diambil kepada polis;
g) OYDS tidaklah boleh dikenakan sekatan lebih daripada yang perlu bagi mencegahnya melarikan diri. Jika OYDS menggunakan kekerasan menentang usaha untuk menangkapnya atau cuba mengelakkan penangkapan itu, pegawai operasi bolehlah menggunakan segala langkah yang perlu untuk melaksanakan penangkapan itu, kecuali apa -apa tindakan yang boleh menyebabkan kematian OYDS;
h) Pegawai operasi hendaklah dengan seberapa segera memberitahu OYDS mengenai kesalahan yang disyaki dilakukan serta tanggungjawab OYDS untuk memberikan kerjasama kepada pegawai operasi;
i) Pegawai operasi hendaklah memberitahu OYDS tentang haknya untuk mendapatkan khidmat peguam pilihannya dan menyerahkan senarai peguam syarie yang boleh dihubungi tanpa membuat apa-apa pengesyoran tentang pemilihan peguam kepada OYDS;
j) Pegawai operasi hendaklah mengambil maklumat diri serta maklumat lain daripada OYDS dan mana-mana orang yang berada di dalam premis tersebut. Maklumat tersebut hendaklah dicatatkan dalam buku catatan harian PPA;
k) PPA hendaklah mengarahkan supaya setiap orang yang berada di dalam premis itu ditahan sehingga penggeledahan itu selesai dan jika benda yang dicari itu adalah daripada jenis yang boleh disembunyikan pada tubuh badan seseorang, pemeriksaan badan bolehlah dibuat;
l) Apabila didapati perlu untuk menyebabkan seseorang itu diperiksa, pemeriksaan itu hendaklah dibuat oleh seorang yang sama jantinanya dengan orang yang diperiksa;
m) Menyita dan merekodkan segala benda yang disita berkaitan dengan kesalahan itu dalam suatu senarai yang disediakan. Salinan senarai itu hendaklah ditandatangani oleh pegawai yang membuat sitaan itu dan OYDS, dan hendaklah diserahkan kepada OYDS atas permintaannya;
n) Jika PPA mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana -mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana -mana tempat maka PPA hendaklah meminta kerjasama daripada orang yang tinggal ditempat itu atau yang menjaga tempat itu untuk membenarkannya masuk ke tempat itu dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk penggeledahan dijalankan di dalamnya;
o) Jika kemasukan ke dalam tempat itu tidak dapat dibuat di bawah perenggan (n) di atas dan bagi tujuan untuk mengelakkan OYDS daripada melarikan diri, setelah memberitahu OYDS atau pemilik tempat itu tentang kuasa dan tujuannya, PPA bolehlah (walaupun tanpa waran tangkap) memecah buka mana -mana pintu atau tingkap untuk memasuki dan menggeledah tempat itu, dan menangkap OYDS ; dan
p) PPA atau mana -mana pegawai operasi yang terperangkap di dalam premis tersebut bolehlah memecah buka mana-mana bahagian di dalam premis itu bagi tujuan untuk membebaskan diri.
Tindakan Selepas Tangkapan
Selepas tangkapan dibuat, langkah -langkah yang berikut hendaklah diambil:
a) Laporan polis mengenai operasi hendaklah dibuat di balai polis yang mempunyai bidang kuasa;
b) Mengikut kesesuaian sesuatu kes, OYDS bolehlah dibawa bersama ke balai polis yang mempunyai bidang kuasa. Sekiranya OYDS bersedia dengan penjamin, urusan jaminan dan pengambilan butir-butir diri OYDS bolehlah disempurnakan di balai tersebut. Jika keadaan tidak mengizinkan OYDS hendaklah dibawa terus ke pejabat PPA untuk tujuan jaminan dan pengambilan butir -butir diri;
c) Sekiranya OYDS tidak bersedia dengan penjamin, selepas laporan polis dibuat OYDS hendaklah dibawa ke pejabat KPPA untuk tujuan jaminan dan diambil butir -butir dirinya;
d) Jika OYDS tidak dapat mengemukakan penjamin, dia bolehlah diletakkan di bawah jagaan KPPA atau di tempatkan di lokap polis sementara menunggu penjamin dengan syarat jagaan tersebut tidak boleh melebihi dua puluh empat jam daripada masa tangkapan. Sekiranya jaminan tidak dapat disempurnakan dalam tempoh dua puluh empat jam, OYDS hendaklah dengan segera di hadapkan kehadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk dituduh;
e) Semasa di pejabat KPPA, butir-butir diri OYDS hendaklah diambil dan jika perlu, pemeriksaan lanjut boleh dilakukan ke atasnya. Pemeriksaan hendaklah dibuat oleh PPA yang sama jantinanya dengan OYDS dengan memberikan perhatian tegas tentang kesopanan:
f) Jika siasatan menunjukkan bahawa suatu kesalahan telah dilakukan oleh OYDS, maka pertuduhan terhadap OYDS hendaklah disediakan dalam tempoh dua puluh empat jam; dan
g) Jika pertuduhan bagi KBT tidak dapat disediakan dalam tempoh dua puluh empat jam, maka OYDS boleh dilepaskan atas bon atau jaminan atau perintah bertulis seorang Hakim atau KPPA atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada inspektor.
Pelepasan OYDS Selepas Tangkapan
OYDS bolehlah dilepaskan dengan cara-cara yang berikut:
a) Pelepasan dengan bon
Jika PPA berpendapat OYDS layak dilepaskan dengan bon, OYDS dikehendaki untuk menandatangani suatu bon untuk hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam bon tersebut;
b) Pelepasan dengan jaminan
Jika PPA berpendapat OYDS layak dilepaskan dengan jaminan, OYDS dan penjaminnnya hendaklah menandatangani suatu borang jaminan yang mengandungi nama penjamin dan jumlah jaminan yang ditetapkan yang akan dikuatkuasakan jika OYDS gagal hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam borang jaminan tersebut; atau
c) Pelepasan dengan perintah bertulis hakim, KPPA dan pegawai polis (inspektor ke atas)
OYDS bolehlah dilepaskan melalui perintah bertulis daripada Hakim, KPPA atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada inspektor, dengan menetapkan syarat -syarat yang difikirkan perlu.
Waran Geledah
Bagi tujuan memohon waran geledah, langkah -langkah yang berikut hendaklah dipatuhi oleh PPA:
a) Meneliti maklumat yang diterima bagi tujuan memohon waran geledah;
b) Jika berdasarkan maklumat yang diterima dan siasatan yang dijalankan, PPA mendapati bahawa waran geledah adalah diperlukan, waran geledah hendaklah dipohon daripada Hakim Mahkamah Syariah;
c) Menyediakan alasan bertulis atau surat permohonan untuk memohon waran geledah daripada Hakim dengan memberikan alasan yang munasabah, yang boleh menyebabkab Hakim mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan di sesuatu tempat atau premis atau sesuatu benda perlu disita dari mana-mana tempat atau premis;
d) Semasa melaksanakan waran geledah, penghuni hendaklah dibenarkan hadir bersama dan memastikan benda-benda yang disita dicatatkan dalam senarai yang disediakan. Senarai itu hendaklah ditandatangani oleh tuan punya barangan yang berkenaan dan PPA; dan
e) Menyerahkan benda-benda yang disita kepada pegawai penyiasat.
Tindakan Menamatkan Siasatan
Setelah tamat siasatan bagi sesuatu kes hasil daripada maklumat awam, tindakan yang berikut hendaklah diambil:
a) Ketua Operasi hendaklah melaporkan hal yang demikian itu kepada ibu pejabat atau pejabat penguatkuasa untuk tujuan rekod dan seterusnya kepada Ketua Unit Siasatan (KUS) atau KPPA dengan kadar yang segera;
b) Pegawai yang menerima laporan di bawah perenggan (a) hendaklah tanpa kelewatan yang munasabah mencatatkan laporan tersebut ke dalam buku laporan siasatan yang disediakan;
c) Setelah laporan dalam perenggan (a) dibuat, pegawai penyiasat hendaklah menyerah kertas siasatan kepada KUS atau KPPA untuk arahan selanjutnya;
d) Jika KUS tidak berpuas hati dengan siasatan tersebut, kertas siasatan tersebut hendaklah dirujuk semula kepada pegawai penyiasat dengan arahan selanjutnya;
e) Setelah menjalankan siasatan lanjut, pegawai penyiasat hendaklah menyerahkan semula kertas siasatan kepada KUS yang seterusnya akan merujukkan kepada KPPA;
f) Setelah KPPA meneliti dan berpuas hati dengan siasatan sesuatu kes, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada KPS untuk tindakan selanjutnya; dan
g) Apabila siasatan telah selesai dijalankan dan KPS telah membuat keputusan untuk mendakwa dan OYDS masih belum ditangkap maka suatu waran tangkap hendaklah dipohon oleh pegawai penyiasat untuk membolehkan OYDS dihadapkan ke mahkamah.
Kesimpulannya, jika berlaku apa-apa kesalahan prosedur tangkapan , maka sesuatu kes itu akan menjadi cacat terhadap prosedurnya dan berkemungkinan akan menganiayai pihak-pihak yang terlibat. Justeru itu, kepatuhan kepada prosedur tangkapan yang betul seharusnya menjadi keutamaan di dalam sandaran sesuatu kes.
Wallahualam.
Ulasan
Catat Ulasan