PENGESAHAN LAFAZ CERAI DI LUAR MAHKAMAH

Related image
Apabila sesuatu perhubungan perkahwinan bubar dengan satu lafaz talak, kedua-dua pasangan perlu merujuk kepada hukum yang ada bagi memastikan status perhubungan itu sah di sisi syarak atau sebaliknya.
Ia penting agar kesahihan status nasab dapat disahkan bukan sahaja mengikut undang-undang di mahkamah tetapi mengikut kesahan undang-undang Allah SWT.
Hari ini banyak pasangan yang bercerai di luar mahkamah tidak merujuk kepada mahkamah untuk mengesahkan perceraian mereka secara undang-undang. Begitu juga dengan lafaz rujuk yang dilakukan, walhal di sisi undang-undang, ia perlu ada saksi untuk membolehkan mereka kembali bersama sebagai suami isteri.
Adalah amat penting untuk seorang suami atau isteri untuk mengambil langkah berhati-hati dengan membuat permohonan pengesahan cerai di Mahkamah, sekiranya berlaku sesuatu lafaz yang diucapkan oleh suami, baik berbentuk ucapan di mulut, atau secara tulisan, atau di hadapan orang lain, atau pengakuan suami bahawa dia seorang bujang/duda, atau apa jua sekalipun yang membangkitkan keraguan di sisi suami atau isteri atau kedua-duanya samaada talaq telah jatuh atau tidak.
Dalam konteks lafaz cerai terdapat dua jenis yang perlu diketahui iaitu lafaz jelas dan lafaz tidak jelas.
Lafaz talaq secara jelas (Soreh): Lafaz cerai dilakukan dalam keadaan waras, lafaz yang menunjukkan maksud perceraian dengan terang dan jelas seperti menggunakan lafaz ‘talaq’ atau ‘cerai’ dan tidak memerlukan niat. Contohnya, “Aku ceraikan kau dengan talaq satu”.
Lafaz talaq secara sindiran (Kinayah): Apabila lafaz cerai dibuat ketika dalam keadaan marah dan emosi, mungkin tidak terniat di hati tetapi cuma sekadar untuk mengeluarkan kata ugutan atau melepaskan amarah. Contohnya: “Pergi balik rumah ibu bapa kau, aku sudah tak mahukan kau lagi”.
Image result for lafaz cerai
Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam suatu permohonan pengesahan cerai:
Siapa yang boleh memfailkan permohonan ini?
  • Suami atau isteri atau kedua-duanya boleh memfailkan permohonan ini. Seorang akan menjadi Plaintif, seorang lagi akan menjadi Defendan. Sekiranya pihak ketiga yang mengetahui berkenaan lafaz tersebut, bolehlah pihak ketiga tersebut mengadu kepada Mahkamah atau pujuk suami/ isteri yang terlibat untuk datang ke Mahkamah dan membuat permohonan pengesahan cerai.

Di mana ianya boleh difailkan?
  • Di Mahkamah Rendah Syariah terdekat dengan tempat tinggal suami atau isteri atau kedua-duanya, mengikut siapa yang akan memfailkan permohonan tersebut sebagai Plaintif.

Apakah yang perlu dinyatakan dalam permohonan tersebut?
  • Tarikh, tempat, masa dan cara lafaz cerai tersebut dibuat (seperti secara WhatsApp, Facebook, SMS, dan sebagainya).

  • Termasuklah samaada suami mengucapkan lafaz tersebut dengan kerelaan sendiri atau dipaksa, kepada siapa suami mengucapkan lafaz tersebut. Perlulah diingat bahawa pengesahan cerai juga adalah perlu sekiranya suami membuat penyataan pengakuan bujang dalam borang berkahwin dengan perempuan lain, atau pengakuan bujang dalam borang BRiM, atau boleh jadi ucapan di hadapan kawan-kawannya walaupun secara gurauan.


  • Adakah saksi yang mendengar atau menyaksikan lafaz tersebut dibuat. sekiranya suami enggan hadir ke Mahkamah untuk pengesahan cerai ini, isteri hendaklah berusaha membawa saksi berkenaan ke Mahkamah untuk mengesahkan berkenaan lafaz ini di hadapan Hakim. Tetapi sekiranya suami hadir dan mengakui bahawa lafaz itu telah dibuat, maka tidak perlu untuk isteri membawa saksi.
Apakah yang akan berlaku selepas kes difailkan?
  • Sekiranya hanya isteri yang mahu mengesahkan cerai, Mahkamah akan mengarahkan isteri untuk menyerahkan permohonan pengesahan cerai itu kepada suami.

  • Sekiranya suami gagal untuk hadir ke Mahkamah pada tarikh yang dinyatakan, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa suami hadir pada tarikh seterusnya.

  • Sekiranya isteri ada membawa dua orang saksi lelaki muslim yang mendengar lafaz oleh si suami, sekalipun suami tidak hadir, Mahkamah boleh meneruskan dengan perbicaraan pengesahan cerai itu dengan mendengar keterangan saksi-saksi.

  • Namun, jika saksi hanya seorang lelaki atau saksi adalah dua perempuan, tidak cukup untuk Mahkamah mensabitkan cerai telah jatuh atau tidak. Dalam hal ini, Mahkamah tetap akan memanggil suami untuk hadir bagi mengesahkan lafaz tersebut. Hanya sekiranya selepas waran tangkap dikeluarkan dan suami masih gagal hadir, barulah Mahkamah akan mempertimbangkan lafaz cerai itu dengan syarat isteri mengangkat sumpah (dipanggil sumpah mardudah).

  • Lafaz cerai yang menjadi isu akan diperiksa Mahkamah samaada merupakan lafaz soreh atau lafaz kinayah.

  • SEKIRANYA LAFAZ SOREH, dan suami melafazkan dengan kerelaan sendiri (bukan atas paksaan sesiapa, dan paksaan juga hendaklah paksaan yang melibatkan nyawa atau cedera), Mahkamah boleh mensabitkan bahawa talaq telah jatuh. Walaupun suami mengatakan dia dipaksa oleh isteri (tanpa ugutan cedera atau bunuh) atau melafazkan atas permintaan isteri, talaq tetap boleh jatuh. INGAT, lafaz soreh TIDAK PERLU kepada niat suami. Jadi, sekalipun suami hanya bergurau dengan kawannya dan mengatakan, sebagai contoh, “aku ceraikan isteri aku” atau “dia dah kena cerai talaq tiga”, cerai tetap boleh jatuh.

  • BAGI LAFAZ KINAYAH (iaitu apa jua lafaz selain “aku ceraikan kau” atau “aku lepaskan kau” atau “aku talaq kau”), suami akan ditanya berkenaan niatnya semasa membuat lafaz tersebut. Perbincangan berkenaan lafaz kinayah amatlah luas, kerana ia merangkumi lafaz berbentuk tulisan (sekalipun jika dibaca dengan lidah, ia berbentuk lafaz soreh), lafaz yang tidak pasti (seperti “aku INGIN ceraikan kau” atau “aku NAK cerai kau”), pengiktirafan bujang/duda, dan banyak lagi. Dalam keadaan-keadaan ini, sekalipun isteri amat yakin bahawa suami memang berniat untuk menceraikannya, namun Mahkamah hanya akan memberi perhatian kepada pengakuan suami itu sendiri, kerana hanya suami itu dan Allah sahaja benar-benar tahu apa niat sebenar si suami semasa membuat lafaz kinayah tersebut. Walaupun segunung bukti dapat dibawa oleh isteri untuk menunjukkan niat suami untuk menceraikannya, namun jika suami sanggup untuk mengangkat sumpah menafikan niatnya, maka Mahkamah hanya akan menghukum berdasarkan apa yang zahir dan akan memutuskan bahawa talaq tidak jatuh.

  • Suami yang beriman dan takut pada Allah tidak akan menipu niatnya di hadapan Mahkamah dan tidak akan sanggup mengangkat sumpah nafi sekiranya dia memang telah berniat menceraikan isterinya. Ini kerana lafaz sumpah nafi itu mengandungi lafaz suami rela dilaknat Allah dunia akhirat sekiranya dia berbohong berkenaan niatnya semasa membuat lafaz cerai kinayah. Takutlah kepada Allah akan akibat berbohong itu, dan ingatlah balasan Allah pasti menanti. Namun jika suami masih membuat sumpah itu, maka si isteri hendaklah redha dengan keputusan Mahkamah sekiranya Mahkamah memutuskan talaq tidak jatuh dengan lafaz tersebut kerana suami telah menafikan niatnya.
 Image result for lafaz cerai
Perlukah melantik Peguam untuk pengesahan cerai?
  • Ini mungkin soalan cepumas untuk setiap kes syariah. Jujurnya, sekiranya lafaz yang dibuat adalah lafaz soreh dan suami DAN isteri sama-sama ingin membuat pengesahan cerai, maka tidak perlu kepada peguam dan kes boleh diselesaikan di hadapan Hakim dengan mudah kerana semua pihak boleh hadir.
 Image result for cerai
  • Apa yang menjadi kerumitan dan mungkin memerlukan khidmat guaman adalah sekiranya suami enggan membuat pengesahan cerai sedangkan isteri mahu, atau suami telah hilang atau melarikan diri, atau suami di penjara, atau lafaz cerai adalah lafaz kinayah, dan lain-lain masalah yang melibatkan kehadiran suami ke Mahkamah atau keperluan kepada saksi, maka dinasihatkan dapatkanlah bantuan peguam (bagi yang mampu) atau bantuan Jabatan Bantuan Guaman (dahulunya dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman) bagi yang berpendapatan kurang RM25ribu setahun (termasuk elaun dan bonus) atau rujuk nasihat dari Jabatan Agama Islam berdekatan. Pada masa ini, mereka yg berpendapatan lebih 25k setahun juga boleh memohon tetapi tertakluk kepada syarat dan ada sumbangan perlu dibuat.

  • Ini kerana prosedur Mahkamah mungkin menjadi panjang akibat keperluan kepada waran tangkap, atau penyediaan saksi, atau hujahan berkenaan sesuatu lafaz kinayah. Dalam hal-hal ini, bantuan peguam atau pihak yang lebih arif adalah diperlukan untuk memudahkan isteri mendapat pengadilan yang sebaiknya.
wallahu'alam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penentuan Kadar Muta’ah di Mahkamah Syariah

PENGGANTUNGAN PELAKSANAAN PERINTAH SEMENTARA MENUNGGU PROSES RAYUAN

KETERANGAN DENGAR CAKAP