POLIGAMI : PROSEDUR DAN UNDANG-UNDANG DI MAHKAMAH SYARIAH
“ Hai senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, seperti dunia, ana yang empunya..”
- P.Ramlee dalam Madu 3
Dalam Islam poligami merupakan perkara yang diharuskan jika syarat-syarat tertentu dipenuhi.
Perkara ini di sokong dengan dalil yang telah dinyatakan di dalam al-Quran di dalam surah Al-Nisaa ayat 3 bermaksud:
``Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang saja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman. ’’
Terdapat beberapa syarat yang diambil kira oleh mahkamah sebelum kebenaran poligami diberikan. Antaranya ialah;
A. Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah perlu dan patut memandang kepada, hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
B. Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
C. Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak hukum syarak;
D. Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan ‘darar syarie’ kepada isteri atau isteri- isteri yang sedia ada;
Prosedur Mahkamah
Beberapa tatacara undang-undang telah dilaksanakan di mahkamah syariah untuk permohonan poligami oleh pihak suami. Suami mestilah memfailkan permohonan tersebut di mahkamah Tinggi Syariah dimana suami sebagai plantif manakala isteri sediaada, bakal isteri dan wali bakal isteri sebagai defendan-defendan.
Bakal isteri dan wali bakal isteri akan dipanggil ke mahkamah dan isteri sedia ada akan dimaklumkan terlebih dahulu dipanggil hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.
Sekiranya isteri mempunyai alasan mengapa perkahwinan kali kedua (sebagai contoh ) suaminya itu tidak harus diteruskan, mahkamah akan meneliti dan akan membuat keputusan berdasarkan kenyataan kedua suami isteri itu.
Kegagalan isteri selaku pihak defendan untuk hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali menyebabkan hakim akan membuat keputusan.
Kesimpulan
Bagi suami, mereka perlu berusaha untuk bersikap adil kepada isteri-isterinya. Jadi, mana-mana suami yang berniat hendak berpoligami perlu mempersiapkan diri dengan sifat dan sikap adil serta sihat tubuh badan. Apabila suami berpegang kepada prinsip adil yang sebenar, pasti dia akan mengadili isterinya tanpa mengira gadis atau janda.
Ulasan
Catat Ulasan