Penentuan Kadar Muta’ah di Mahkamah Syariah

PENDAHULUAN

Mut'ah adalah salah satu daripada hak-hak yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut. Ia adalah satu anugerah Allah s.w.t dan lambang keperihatinan Islam terhadap nasib kaum wanita. Suami tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan terhadap isteri-isterinya sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t sama ada semasa perkahwinan mahupun selepas berlakunya perceraian.

Dalam sudut pandangan Islam, ia adalah sangat penting kepada hakim-hakim untuk menentukan jumlah muta'ah untuk isteri. Dari sudut Syarak muta’ah bermakna pemberian yang wajib kepada isteri selepas perceraian di bawah terma dan syarat-syarat tertentu. Menurut definisi Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, muta’ah merujuk kepada bayaran pemberian yang diberikan kepada isteri yang diceraikan mengikut hukum syarak. Walaubagaimanapun, muta'ah menjadi tidak wajib jika perceraian itu dimulakan oleh isteri.

PENENTUAN KADAR MUTA'AH DI MAHKAMAH SYARIAH

1. KEMAMPUAN SUAMI

Kadar kemampuan suami adalah pada dasarnya dinilai dari segi pendapatan yang ada. Pendapatan tersebut adalah berdasarkan pendapatannya ketika masa bercerai dan bukanlah ketika tuntutan dibuat terhadapnya atau bukanlah berdasarkan baki kepada potongan-potongan. Adapun jumlah pendapatan yang diambil kira dalam penilaian tersebut adalah pendapatan kasar suami ketika perceraian. Melalui penilaian ini secara umumnya kemampuan atau kedudukan kewangan suami boleh diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu miskin, sederhana dan kaya. Secara ringkasnya kaya dan miskin ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan pendapatan.

2. TARAF KEDUDUKAN ISTERI

Selain penentuan berdasarkan kemampuan suami sepertimana dibincangkan di atas, hakim juga akan mengambil kira kedudukan dan sifat isteri dalam menilai jumlah mut’ah yang diputuskan. Sebagai contoh, isteri adalah seorang yang mempunyai nilai kedudukan dalam masyarakat, mempunyai gelaran Dato', ketua masyarakat, public figure dan lain-lain lagi.

3. TEMPOH PERKAHWINAN

Tidak ada nas atau dalil yang menunjukkan bayaran mut’ah boleh dibayar berpandukan tempoh lama perkahwinan berkuatkuasa namum dalam kes Ida Hidayati binti Taufik lwn Ahmad Shukri bin Kassim18, YAA Hakim dalam kes tersebut telah mengambilkira tempoh perkahwinan dalam memutuskan bahawa pihak plaintif wajar mendapat hak mut’ah sebanyak RM 48,000.00 setelah mengambil kira tempoh perkahwinan dan kesengsaraan yang menjadi titik hitam yang mungkin tidak dapat dilupakan seumur hayatnya disamping melihat pendapatan atau kemampuan defendan sebagai juruterbang MAS yang berpendapatan RM10,000 sebulan.

Di dalam kes Suraiya Bt M Shafie lawan Abd Shukor Bin Mohd Hashim 27 (2) 2009 JH 259. Pasangan ini berkahwin selama 15 tahun dan dikurniakan 4 orang anak. Plaintif adalah pakar mata dan Defendan adalah pakar tulang di Hospital yang sama. Pendapatan bulanan Defendan adalah antara RM50,000.00 dan RM70,000.00 sebulan. Bahkan ada wang simpanan sebanyak RM100,000.00. Plaintif menuntut RM500,000.00 manakala Defendan menawarkan RM50,000.00 sebagai mut'ah. Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menetapkan kadar mut’ah adalah sebanyak RM70,000.00 dan dibayar dalam tempoh 7 bulan.

4. SUMBANGAN KHIDMAT ISTERI TERHADAP PERKAHWINAN

Khidmat Isteri juga menjadi faktor yang telah diambilkira oleh hakim dalam menilai kadar tuntutan mut’ah merangkumi khidmat dan susah payah isteri memasak, membasuh dan memelihara anak-anak dan menjaga harta suami sewaktu suami bekerja.

Merujuk kepada kes Jaiton Bee @ Zaitun Bee Bt Mohd Yaacob lwn Mohd Taha Bin Wan Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Shah Alam Tuan Salehan Haji Yatim, HMTS memutuskan bahawa berdasarkan keterangan utama Plaintif, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau dan Defendan telah bernikah pada 21hb. Mei 1967 dan telah bercerai pada 14hb Oktober 2002. Mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam Syarie Plaintif bahawa Plaintif adalah berhak untuk mendapat bayaran saguhati mut’ah daripada Defendan kerana pihak Defendan dalam kes ini tidak mencabar hak Plaintif untuk mendapat mut’ah melalui tindakan pihak Defendan sendiri yang tidak menfailkan Pembelaan serta di dalam Afidavit Keterangannya juga Defendan tidak menyatakan bahawa Plaintif adalah seorang yang tidak berhak untuk mendapat mut’ah walaupun Defendan tidak memberikan apa-apa tawaran kepada Plaintif tentang jumlah mut’ah yang beliau mampu untuk diberikan kepada Plaintif.

Disamping itu juga, Mahkamah mendapati bahawa pengorbanan Plaintif sebagai isteri yang mana telah hampir 35 tahun mendirikan rumah tangganya dengan Defendan dan telah dikurniakan 4 orang anak daripada hasil perkahwinan tersebut, disamping Plaintif tidak pernah diisytiharkan sebagai nusyuz adalah layak untuk menerima mut’ah. Mahkamah selain itu mempertimbangkan berkenaan perasaan malu yang terpaksa ditanggung oleh Plaintif selepas penceraian juga adalah menjadi faktor yang melayakkan Plaintif untuk menerima mut’ah. Disini, Mahkamah beranggapan bahawa asas hukum pemberian mut’ah adalah untuk mengelakkan pihak isteri yang diceraikan daripada dipandang serong oleh masyarakat yang membuat anggapan perceraian berlaku disebabkan oleh keaiban isteri. Melalui pemberian
mut’ah ini, anggapan masyarakat dapat diubah.

KESIMPULAN

Jelaslah di sini bahawa apa yang telah diputuskan oleh Y.A. Hakim-hakim dalam penghakiman hampir semuanya merujuk kepada al-Quran sebagai rujukan utama, Hadith, Athar Sahabat dan pendapat-pendapat dari ulama’-ulama’ Mazhab yang empat. Walau dilakukan penelitian terhadap hujah dan bukti pihak-pihak yang bertikai namun penelitian itu hanya sekadar untuk menentukan ketepatan pandangan dalam kes yang dibicarakan atau dipertikaikan.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGGANTUNGAN PELAKSANAAN PERINTAH SEMENTARA MENUNGGU PROSES RAYUAN

KETERANGAN DENGAR CAKAP