NAFKAH ISTERI NUSYUZ
Nusyuz boleh berlaku melalui dua cara iaitu melalui perkataan dan perbuatan. Nusyuz melalui perkataan boleh berlaku sekiranya seorang isteri itu menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada suami seperti menghina suami. manakala Nusyuz perbuatan pula berlaku apabila pihak isteri menunjukkan sikap kasar yang keterlaluan dan tidak menunjukkan penghormatan kepada pihak suami dan lebih malang ialah isteri menjalinkan kelakuan curang dengan lelaki ataupun perempuan lain.
Seksyen 60 ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2005 (NEGERI PAHANG) dalam Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz
(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain;-
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Selain itu, undang-undang juga memperuntukkan bahawa jika seorang isteri disabitkan nusyuz, mahkamah berbidangkuasa untuk memerintahkan isteri agar kembali taat kepada suami. Sekiranya seorang isteri dengan sengaja tidak menurut suatu perintah yang diberikan oleh suaminya yang sah mengikut hukum syarak, seorang isteri boleh didakwa di bawah seksyen 130 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Pahang
Bagi tujuan itu, suami bolehlah membuat suatu aduan di mana-mana pejabat agama yang berbidangkuasa untuk suatu siasatan dijalankan dan sekiranya perlu pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah.
Kesimpulannya, menurut peruntukan undang-undang yang ada juga, seorang isteri yang sudah disabitkan oleh mahkamah tidak lagi berhak untuk menuntut tunggakan nafkah termasuk nafkah i’ddah sekiranya perceraian berlaku.
Dan adalah lebih baik bagi suami atau isteri itu merenung ayat dalam Surah An-Nisa' Ayat 128 Allah berfirman maksudnya;
"Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Ulasan
Catat Ulasan